icon
article-hero

Nikmati Akhir Ramadan Di 15 Masjid Tercantik Di Seluruh Malaysia

avatar-name

Maryam Zainol •  Jun 13, 2018

Ramadan hampir berakhir. Sayu hati nak tinggalkan bulan yang mulia ini tapi tak dinafikan, kemeriahan nak menyambut Hari Raya juga sudah mula terasa ❤️ Lebih-lebih lagi bagi mereka yang cuti awal sebelum Raya untuk balik kampung! Sambil-sambil bergembira dapat berjumpa saudara-mara dan berbuka puasa bersama di serata negara, luangkan masa di masjid untuk menikmati malam terakhir di bulan Ramadan ini.

Kredit: Giphy

Apa yang lebih indah daripada beribadah di rumahNya? ? Jadi, ajaklah saudara-mara dan kawan-kawan sekali ke masjid-masjid tercantik di seluruh Malaysia ini ?

1. Masjid Putra, Putrajaya

Putrajaya mempunyai beberapa masjid yang bukan saja cantik malah luas dan selesa bagi mereka yang jalankan solat di sini. Salah satu yang popular ialah Masjid Putra yang juga dikenali sebagai 'Masjid Merah Jambu'. Dengan keunikan reka bentuk yang berkombinasikan stail tradisional Melayu dan Timur Tengah, dan warna yang menarik pandangan ramai, ia telah menjadi mercu tanda terkenal di Putrajaya. ?

Kredit: Asyrafnaz di Flickr

Kredit: @jlaquino di Instagram

Alamat: Pusat Pentadbiran Kerajaan, Presint 1, 62502 Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya

2. Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

Terletak di Jalan Duta, masjid ini mempunyai rekaan yang berkonsepkan 'Masjid dalam Taman'. Reka bentuk dan hiasan Masjid Wilayah Persekutuan ini juga diambil dari sumber inspirasi masjid-masjid zaman Othmaniah di Turki. Luas, selesa dan cantik, masjid ini pasti menjadi pilihan bagi mereka yang #teamrayaKL ?

Kredit: @adventoro di Instagram

Alamat: Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Kerajaan, 50480 Kuala Lumpur

3. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor

Masjid terbesar di Malaysia yang terletak di Shah Alam, Selangor, telah menjadi ikon bagi negara ini. Bukan saja itu, masjid ini juga mempunyai menara kedua tertinggi di dunia dan menduduki tempat kedua masjid terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. Selain itu, masjid ini juga mempunyai kubah terbesar di dunia dan berada di ketinggian 300 kaki dari paras bumi dengan garis pusatnya 170 kaki. Walaupun tempat letak kereta tak dapat menampung jumlah pengunjung yang besar, masih ramai yang bertubi-tubi datang melawat masjid ini - lebih-lebih lagi pada pagi Raya! ?

Alamat: Persiaran Masjid St., Sekysen 14, 40000 Shah Alam

4. Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan

Masjid yang dinamakan sempena Sultan Muhammad ke-IV dari negeri ini juga dikenali sebagai 'Masjid Besar' di kalangan rakyat Kelantan. Dibina pada tahun 1867 dan mempamerkan reka bentuk tradisional dengan menggunakan kayu-kayu saja, masjid ini diubahsuai dengan penggantian kayu kepada konkrit pada tahun 1922. Walaupun begitu, reka bentuk yang klasik dan megah masjid ini tetap simbolik kepada negeri Kelantan sebagai pusat penyebaran ilmu agama Islam yang juga dikenali sebagai 'Serambi Mekah'. Masjid ini tidak lah luas mana tetapi masih popular sebagai masjid destinasi bagi warga Kota Bharu. ?

Kredit: @azriazm1 di Instagram

Alamat: Jalan Sultanah Zainab, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu

5. Masjid Kristal, Kuala Terengganu, Terengganu

Masjid Kristal bukan saja popular di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga dikenali di peringkat antarabangsa kerana masjid ini menduduki tempat ketiga masjid tercantik di dunia! ? Diperbuat oleh kaca, besi dan kristal, masjid ini memang menakjubkan. Lebih-lebih lagi kerana lokasinya yang terletak di Taman Tamadun Islam, Terengganu. Tambahan pula, rekaan nya yang menggabungkan stail tradisional dan senibina yang moden dan inovatif - rugi kalau anda tak singgah di sini untuk beribadah.

Kredit: fendieyadams di Instagram

Alamat: Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu

6. Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor

Masjid ini dinamakan sempena Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim yang memerintah Johor pada tahun 1892. Reka bentuk dan keluasan masjid ini seperti istana. Apa yang menarik ialah masjid ini berbentuk bujur sangkar dan mempunyai 4 buah anjung bersertakan menara kubah. Sememangnya senibina yang megah ini sesuai dengan kesultanan Johor yang pada masa itu membelanjakan sebanyak $400,000 untuk pembinaan masjid ini. ?

Alamat: Masjid Sultan Abu Bakar, 80000 Johor Bahru

7. Masjid Kampung Hulu, Melaka

Walaupun masjid di Melaka ini telah dibina pada zaman kuno tetapi keunikannya terletak pada reka bentuk bangunan ini. Dibina oleh seorang Cina Muslim yang bernama Arom (Harun), ramai yang tak sangka bangunan ini merupakan sebuah masjid! Serupa dengan pagoda atau rumah api, masjid ini menunjukkan kepelbagaian bangsa penganut agama Islam dan juga luasnya tersebar agama yang sempurna ini ? Senibina Masjid Kampung Hulu ini menggabungkan stail Sumatera, Cina, Melayu Melaka dan Hindu.

Kredit: @sarahshiro90 di Instagram

Alamat: Jalan Kampung Hulu, Kampung Dua, 75200 Melaka

8. Masjid Hussain, Seremban 2, Negeri Sembilan

Jika anda berada di Negeri Sembilan, sempurnakan solat anda di Masjid Hussain. Masjid yang siap dibina pada tahun 2012 ini masih kelihatan baru dengan luarannya yang serba putih. Senibina yang begitu sederhana bercirikan senibina Islam Turki ini sangat selesa dan sering menyaksikan pengantin-pengantin bernikah selain daripada mereka yang datang menimba ilmu. Sambil-sambil beriadah di taman bersebelahan masjid ini, singgah sebentar untuk beribadah bersama keluarga dan rakan-rakan ?

Kredit: Masjid Hussain, Seremban 2 di Facebook

Alamat: 70300 Seremban

9. Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak

Kubah emas dan 4 buah menara masjid ini dapat dilihat dari jauh lagi! Inspirasi senibina Islam yang klasik, Masjid Ubudiah ini dirasmikan pada tahun 1917. Masjid ini dibina oleh Sultan Idris sebagai masjid nazar setelah baik dari sakitnya. Salah satu bangunan ikonik di Kuala Kangsar, masjid yang begitu cantik ini mempunyai dekorasi dalaman yang dibuat oleh batu marmar berwarna merah dan putih, khas dari Itali dan London. ?

Alamat: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar

10. Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah

Cantik betul masjid Diraja yang terletak di perkarangan Istana Pelamin ini ? Siap dibina pada tahun 1912, Masjid Zahir amat popular di kalangan orang Kedah. Kubah hitamnya - satu kubah utama dan 5 kubah kecil - melambangkan lima rukun Islam. Senibina yang diambil dari sumber inspirasi Arab dan Turki sememangnya tak lapuk dek zaman dan masih mempersonakan walaupun bertahun lama. Mungkin anda dapat bertemu dengan kerabat diraja semasa solat disini ?

Kredit: @hajarolaswad di Instagram

Alamat: Jalan Kampung Perak, Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar

11. Masjid Terapung Tanjung Bungah, Pulau Pinang

Masjid ini ialah masjid yang pertama dibina di atas permukaan laut dengan konsep 'terapung'. Masjid dua tingkat ini siap dibina pada tahun 2007. Terletak di tepi pantai Tanjung Bungah, kariah masjid ini aktif dengan pelbagai aktiviti ilmiah yang dijalankan untuk warga sekitarnya. Dengan menara azan setinggi 7 tingkat ini, sememangnya anda tidak akan terlepas pandang masjid yang menawan yang juga berdekatan dengan 'hotspot' makanan seafood. Selepas berbuka dengan makanan laut yang popular di kawasan ini, boleh lah sambung beribadah di masjid sebelah ?

Kredit: @ayanoisy di Instagram

Alamat: Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, 11200 Tanjung Bungah

12. Masjid Al Hussain, Kuala Perlis, Perlis

Di Kuala Perlis juga terletaknya sebuah masjid terapung di tepi pantai. Senibina masjid ini lebih artistik dengan tema resort tropika yang moden berbanding dengan masjid-masjid terapung yang lain di Malaysia. Dinding masjid ini tak dicat tapi sebaliknya dilitupi batu-batuan jenis koral, kuartz, granit, marmar dan batu kerakal. Ini membuatkan luaran masjid ini senang dijaga dan tahan lasak. Menara masjid ini juga sangat unik kerana berbentuk heksagon. Ini merupakan reka bentuk yang pertama bagi menara masjid di dunia. Tenang kan beribadah di tepi pantai di masjid yang bertema resort? ?

Kredit: @ayu_suparman di Instagram

Alamat: 1, Persiaran Putra Timur, 02000 Kuala Perlis

13. Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang

Masjid yang berwarna biru muda ini sangat terkenal di bandar Kuantan dan merupakan masjid yang terbesar di Pahang ? Masjid ini dinamakan sempena nama pemerintah Pahang yang pertama, Sultam Ahmad Al-Mu'adzam Shah yang memerintah pada lewat 1890. Apa yang unik tentang masjid ini ialah menara-menaranya yang dibuat daripada marmar khas yang berkilauan. Digabungkan dengan luaran yang berwarna putih, masjid ini kelihatan berseri-seri. Senibina yang didasarkan pada masjid zaman Othmaniah ini menggabungkan bahan-bahan moden yang membuatkan ia tampil lebih anggun. ?

Kredit: @izz_dr di Instagram 

Alamat: Jalan Mahkota, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang, 25000 Kuantan

14. Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah

Bayangkan menyambut akhir Ramadan di masjid sebegini? Dibuka pada tahun 2000, masjid terapung yang elegan ini diilhamkan daripada Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah ? Kubahnya yang berwarna biru dan emas dapat dilihat dari jarak yang jauh. Dikelilingi oleh 70% air yang tenang, beribadah di masjid ini merupakan suatu pengalaman yang unik dan indah. Dengan ruang sembahyang yang luas dan selesa, masjid ini mampu menampung seramai 1,500 pengunjung. ?

Alamat: Jalan Pasir, Kampung Likas, 88450 Kota Kinabalu

15. Masjid Bandar Kuching, Kuching, Sarawak

Masjid ini sangat istimewa bagi warga Kuching kerana ini merupakan masjid yang tertua yang dibina sekitar tahun 1852. Masjid yang mampu menampung seramai 1,600 pengunjung ini sedang diubahsuai menjadi masjid terapung.? Kubah berwarna emas dan luaran masjid yang berwarna merah jambu ini kelihatan sungguh mempersonakan disamping sungai Sarawak, lebih-lebih lagi apabila matahari terbenam.? Nikmati pemandangan yang indah ini sebelum ke masjid untuk jalankan ibadah. Pasti jiwa terasa tenang.

Alamat: 332, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kampung No3, 93400 Kuching

Kredit: Giphy

Masjid-masjid yang ada berdekatan dengan rumah kita bukan hanya untuk dikunjungi pada bulan Ramadan dan pagi Raya saja. ? Luas, indah dan sentiasa mengalu-alukan kehadiran umat Islam, mari kita ringankan tulang dan beribadah bersama ? Semoga kita semua berkesempatan menikmati Ramadan tahun akan datang.